KUALA LUMPUR: KEADILAN menggesa Ketua Polis Negara menarik semua ancaman kepada orang awam yang membuat laporan mengenai keganasan polis yang dilakukan terhadap peserta Bersih 2.0, 9 Julai lalu.
Naib Presidennya, N Surendran berkata, polis juga seharusnya bertindak adil dengan menyiasat kejadian tembakan gas pemedih mata yang dilepaskan pasukan polis di KL Sentral pada hari itu.
Dalam kejadian tersebut, pengawal Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalami kecederaan teruk sehingga remuk tulang pipi akibat terkena tembakan kanister gas, manakala Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad turut mengalami kecederaan parah di kepala.
Surendran mengulas kenyataan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah yang mengatakan orang ramai yang membuat dakwaan palsu terhadap polis akan dikenakan tuduhan jenayah.
Acryl dilapor berkata individu yang membuat laporan palsu terhadap pegawai dan anggota polis ketika perhimpunan 9 Julai lalu akan didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
“Ia tugas pasukan polis untuk secara adil menyiasat semua aduan awam mengenai salahlaku polis. Ancaman seperti itu dikira menanam ketakutan ke dalam publik dan menghalang mereka dari melaporkan aduan terhadap jabatan polis,” kata Surendran.
Berdasarkan undang-undang, kata Surendran perbuatan berkenaan berupaya mengakibatkan kematian dan boleh dianggap sebagai satu cubaan membunuh.
“Kami menggesa siasatan kejadian di laluan bawah KL Sentral itu dikelaskan sebagai cubaan membunuh di bawah seksyen 37 Kanun Acara Jenayah dan meneliti sebab itu,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=17591
No comments:
Post a Comment