19 August 2011

Umno Selangor dan P Pinang nak saman Mustafa Ali dan Guan Eng? ....

Guan Eng kata ‘saman sekarang jika mahu’

Oleh G Manimaran

KUALA LUMPUR, 19 Ogos — Lim Guan Eng berkata Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman tidak perlu menunggu sehingga tujuh hari untuk menyaman beliau, sebaliknya boleh berbuat demikian sekarang jika mahu.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu dan Zainal Abidin berbalas mesej menerusi Twitter petang ini mengenai tindakan saman berhubung kenyataan Lim, didakwa cuba mengaitkan isu perkauman ekoran insiden simbahan cat di ibu pejabat DAP, Ahad lalu.

“Tak payah tunggu tujuh hari. Saman sekarang. Kamu belit. Buktikan apa saya cakap,” kata Lim (gambar) dalam mesej diposkan sekitar 7 petang tadi.

Kira-kira dua jam sebelum itu, Zainal Abidin dalam mesej kepada Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata: “Saya beri notis tujuh hari kepada Lim Guan Eng, beri bukti, sebelum saya bawa ke mahkamah.”

Khairy berkata beliau berharap Umno Pulau Pinang akan menyaman Lim kerana menuduh membakar ibu pejabat DAP di George Town.

Dalam pada itu, seorang ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah pula menulis, “Umno Selangor nak saman Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Umno Pulau Pinang nak saman Lim Guan Eng. Jangan tuduh kami bukan-bukan,” katanya lagi.

Umno mengadakan mesyuarat majlis tertinggi petang ini.

Mesej-mesej Twitter mengenai isu itu muncul selepas berakhir mesyuarat MT.

Semalam, Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang menggesa Lim menarik balik kenyataannya yang didakwa cuba mengaitkan isu perkauman dengan insiden simbahan cat di ibu pejabat DAP.

Zainal Abidin berkata, kenyataan Lim itu telah memberi gambaran seolah-olah perbuatan simbah cat itu dilakukan oleh orang Islam.

“Sebagai Ketua Menteri, beliau tidak sepatutnya bercakap sembarangan tanpa bukti, apatah lagi cuba mengaitkan sesuatu kejadian jenayah dengan isu sensitif agama,” katanya.

Lim sebelum ini dipetik berkata, simbahan cat di ibu pejabat DAP mungkin berkaitan dengan tindakan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang yang membuat larangan terhadap masjid atau surau di negeri ini menggunakan pembesar suara untuk bacaan al-Quran sebelum subuh.

Ahad lepas, pejabat DAP di Jalan Talipon di George Town dan pusat perkhidmatan Setiausaha Politik Lim, Ng Wei Aik, di Lorong Seratus Tahun disimbah dengan cat.

Awal pagi semalam sebuah papan tanda dan pintu utama pejabat DAP Pulau Pinang itu mengalami kerosakan teruk akibat satu kebakaran dipercayai akibat perbuatan khianat.

Zainal Abidin berkata, kenyataan Lim itu jelas membuktikan beliau bukanlah seorang pemimpin negeri yang berhemah apabila cuba mencetus isu perkauman.

“Sebagai parti politik yang mewakili orang Melayu dan Islam, kita mahu Lim memberi bukti dakwaannya itu atau jika tidak mempunyai bukti, beliau harus menarik balik kenyataannya atau kita akan ambil tindakan undang-undang kerana cuba menghasut dan mencetus isu perkauman,” katanya.- TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive