KUALA LUMPUR, 21 Feb — Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) menegaskan tidak wajar untuk pembangkang mengheret Datuk Seri Najib Razak berdebat semata-mata mahu memberi publisiti kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tegas Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali, Anwar yang juga Ketua Umum PKR sepatutnyta berdebat dengan presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu iaitu Datuk Ibrahim Ali.
“Adalah tidak wajar mengheret perdana menteri ke pentas politik murahan untuk memberi publisiti kepada Anwar. Tidak ada keperluan untuk Najib melayan hasrat karut Anwar.
“Anwar perlu berdepan dengan presiden Perkasa dulu berdebat berhubung sokongannya kepada Israel kerana rakyat mahu lihat apa motif beliau menyokong Yahudi,” katanya dalam satu kenyataan.
Desakan agar debat antara Najib dan Anwar diadakan semakin hebat selepas debat antara Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng minggu lepas.
Pelbagai pihak tampil memberikan pendapat dan galakan, tidak kurang yang menghalang, yang rata-ratanya ahli Umno, terhadap cadangan debat kedua-dua pemimpin tersebut.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah memberi bayangan bahawa peminpin Umno bersedia pada bila-bila masa untuk berdebat, dan rakan sejawatannya dari Pakatan menyahut seruan itu.
Bagaimanapun Najib, Presiden Umno setakat ini enggan untuk berdebat secara terbuka dengan Anwar.
Anwar telah berulang kali menjemput Najib untuk sesi debat terbuka dan mencabar beliau berbincang berkenaan polisi dan hala tuju kerajaan.
“Elok berdepan dengan Ibrahim sesuai namanya Anwar Ibrahim sama-sama dari kem Kemunting.
“Maka barulah dikatakan debat buku dan ruas,” tambah Syed Hassan
No comments:
Post a Comment