KUALA LUMPUR, 21 Feb: Tindakan Kerajaan BN yang sanggup menjalinkan hubungan dagang dengan Israel benar-benar melukakan hati majoriti rakyat negara ini terutama yang beragama Islam.
Kehadiran dua buah kapal dagang milik rejim Israel, Zim Atlantic dan Zim USA ke Westport, Pelabuhan Klang pada 16 Februari lalu benar-benar mengejutkan seluruh rakyat negara ini sehingga memperlihatkan wajah sebenar Umno BN di mata orang ramai.
Dewan Ulama PAS Pusat sehubungan itu menuntut Kerajaan Malaysia segera membuat penjelasan mengenai kedudukan sebenar perkara itu kepada rakyat.
Setiausahanya, Dr Khairuddin Aman Razali berkata, umat Islam yang cintakan akhirat sewajarnya tidak menjalin sebarang bentuk kerjasama dan perhubungan sosial atau ekonomi dengan mereka yang melakukan kezaliman sama ada kezaliman itu dilakukan oleh orang Islam sendiri atau bukan Islam.
"Negara haram Israel telah menzalimi umat Islam Palestin dalam tempoh yang panjang dengan merampas tanah air mereka dan membunuh ratusan ribu umat Islam," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.
Sebuah NGO, Jingga 13 seperti yang dilaporkan Harakahdaily semalam mendedahkan bahawa Kerajaan Malaysia mempunyai hubungan dagang dengan negara rejim Israel.
Hubungan tersebut terbukti dengan kehadiran dua buah kapal, Zim Atlantic dan Zim USA yang telah berlabuh di Westport, Pelabuhan Klang pada 16 Februari lalu yang dimiliki oleh ZIM Integrated Shipping Services Ltd hak milik rejim Israel.
Koordinator Jingga 13, Fariz Musa menjelaskan, pihaknya juga telah mendapatkan bukti jelas bahawa hubungan antara Kerajaan Malaysia dan rejim Israel telah wujuh walaupun pemimpin Umno menafikan wujud hubungan dagang.
"Kehadiran ZIM USA yang sebelum ini didaftarkan di Haifa, Israel pada 25 Oktober 2010 dan kini didaftarkan di Republic Of Liberia pada 2 Februari 2012 dan ZIM Atlantic yang turut didaftarkan di Republic Of Liberia adalah milik Israel melalui Israel Corporation dengan pegangan saham sebanyak 98 peratus iaitu salah satu syarikat besar dimiliki oleh Israel," katanya.
Menurut Khairuddin, sebarang kerjasama sosial dan politik dengan mereka yang terang-terang melakukan kezaliman adalah satu keredhaan terhadap kezaliman.
Katanya, Allah berfirman dalam surah Hud ayat 113 bermaksud: "Dan janganlah kamu cenderong hati terhadap orang-orang yang zalim, pasti kamu disentuh oleh api neraka."
"Jadi, sekiranya benar laporan yang menyatakan kapal-kapal yang dimiliki sebuah syarikat yang didakwa dikuasai oleh kerajaan Israel mempunyai akses bebas ke Westport, Pelabuhan Klang, ia memang benar-benar melukakan hati majoriti rakyat Malaysia beragama Islam," katanya yang lebih dikenali sebagai Ustaz Mohd Khairuddin At-Takiri. - Harakah Daily
No comments:
Post a Comment