Showing posts with label politik wang. Show all posts
Showing posts with label politik wang. Show all posts

26 May 2010

UMNO MCA telah menggunakan wang dalam keadaan meragukan semasa pilihanraya : Mahathtir

PETALING JAYA : Mantan Perdana Menteri dan bekas presiden Barisan Nasional (BN) Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui Umno dan MCA telah menggunakan wang dalam keadaan meragukan semasa pilihanraya, menurut laporan dalam kewangan politik.

"Tidak dapat dinafikan politik membabitkan wang. Tanpa wang, karier politik anda tiadk boleh bergerak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu temubual tahun lepas bersama Transparensi Antarabangsa-Malaysia (TI-M) yang diterbitkan dalam laporan Politik Kewangan di Malaysia, Ahad lalu.

Disebabkan kebergantungan hubungan antara politik dan wang, Mahathir berkata Umno membangun hasil daripada perolehan wang rakyat.

"Rakyat Malaysia senang dipujuk. Mereka percaya jika dengan sumbangan itu mereka akan dapat hasilnya," kata bekas pemimpin Umno selama 22 tahun itu.

"Jadi bila tibanya pilihanraya, rakyat akan datang dan minta wang pada kita. Kadangkala duit itu diguna tanpa direkodkan, jadi terpulang sama ada kita jujur atau tidak."

Mahathir mendakwa amalan beli undi sentiasa terjadi ketika pilihanraya umum yang diadakan setiap tiga tahun dan mendakwa "boleh dikatakan setiap orang" yang terpilih dalam Majlis Tertinggi Umno itu menggunakan cara sedemikian.

"Jadi anda boleh berkata ahli Majlis Tertinggi itu dilantik hasil daripada undian sogokan," katanya.

Beliau kemudiannya mengaitkan pengalamannya semasa tahun 2006 apabila beliau membida untuk merebut jawatan tertinggi Umno ketika Mesyuarat Agung Tahunan namun dihalang kerana pencabarnya telah membeli undi ahli.

Pada ketika itu beliau kalah untuk merebut tempat sebagai wakil Bahagian Kubang Pasu yang dipimpinnya selama lebih daripada tiga dekad.

"Saya kalah kerana Ibu Pejabat Umno tabur duit kepada ahlinya supaya tidak mengundi saya. Ketua Bahagian dapat RM2,000 dan setiap ahli mendapar RM200.

Nilai saya hanya RM200 – Dr M

"Saya meluat. RM200, adakah saya begitu murah? Berapa banyak benda yang anda mampu beli dengan RM200? Anda jual kuasa untuk menentukan pemimpin dengan hanya RM200?" katanya.

Dalam laporan TI-M itu juga terdapat petikan temubual bersama bekas Menteri Kewangan dan Bendahari Umno Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang mendedahkan bagaimana Umno melakukan suapan melalui pemberian kontrak kerajaan.

Ku Li mendakwa, pengendalian projek selalunya bertukar tangan, keuntungan akan jatuh, dan mendorong kepada hasil kerja yang kurang elok terutamanya membabitkan projek infrastruktur.

"Hospital retak, stadium runtuh, itu semua hasil daripada kroni kontraktor.

"Tak semestinya disebabkan ada unsur rasuah. Boleh jadi disebabkan reka bentuk yang buruk dan sebagainya kerana kontraktor yang dilantik oleh ahli politik berdasarkan jumlah sogokan yang diberi.

"Jika kontraktor tak bagi duit, mereka tidak akan berminat dengan anda. Anda nak tambah duit, anda mesti suap kroni anda secara haram".

Pemimpin MCA Dr Chua Soi Lek (semasa menjadi pemimpin No.2 MCA tahun lepas) mendedahkan ramai calon BN membelanjakan banyak wang semasa pilihanraya umum.

"Calon dihadkan berbelanja sebanyak RM200,000 tapi jumlah rasmi tidak mencatatkan jumlah yang sebenarnya dimana mereka kebiasaannya menghabiskan wang antara RM500,000 sehingga RM1 juta ketika berkempen.

Dalam laporan setebal 234 muka surat itu, TI-M turut mengkritik Umno dan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain kerana terlibat dalam urusan perniagaan yang mengawal organisasi media.

TI-M turut mengemukakan 19 cadangan untuk membanteras rasuah dan memperbaiki ketelusan politik wang.

30 September 2009

Sepetang di Bagan Pinang - Politik wang tiada masalah - bukan jenayah : Isa Samad

Rasuah, politik wang sama la tu. Tapi Isa Samad kata dia digantung kerana politik wang atau tindakan disiplin dalam parti, bukan jenayah. Politik wang bukan jenayah tapi kalau diubah ke rasuah baru dikira jenayah, baru SPRM akan bertindak.

Sebab ia bukan jenayah, sebab ia politik wang maka sebab itu juga lah Isa Samad bekas MB Negeri Sembilan telah dinamakan sebagai calon BN untuk Pilihan raya kecil N31 Bagan Pinang, Port Dickson 11 Oktober nanti bagi menghadapi Pesuruhjaya PAS negeri Tn Haji Zulkefly Mohamad Omar. Penamaan calon bakal berlangsung Sabtu, 3 Oktober ini.

Walaupun sebelum ini, Mahathir berkali-kali telah menyuarakan agar BN tidak mengangkat kembali Isa Samad, namum Najib dan Muhyiddin seperti tidak menghiraukan akan pandangan Mahathir. Mungkin bagi mereka suara Mahathir sudah tidak perlukan lagi, siapa engkau?


Isa senyum sempoi lepas Muhyiddin umum dia sebagai calon BN

Aku berkesempatan singgah di "Sambutan Hari Raya Aidilfitri UMNO BN" di Port Dickson semalam. Kebetulan aku dalam rewang-rewang di Port Dickson, maka terjumpa lah satu "pesta" berhampiran bulatan menuju ke lebuhraya PD-Seremban.

Antara lain Muhyiddin berkata "kembalikan sokongan tuan puan kepada UMNO BN, kalau dilihat pada petang ini saya percaya UMNO kini telah kembali mendapat sokongan dari tuan-tuan ... Alhamdulillah ... (diikuiti dengan tepukan dari para hadirin - tepuk sebab dapat bas free, makan free la tu)

Tapi yang meramaikan majlis petang semalam kebanyakan nya mat-mat dan minah-minah yang dibawa entah dari mana. Terdapat hampir 40 buah bas disediakan.



Antara "penyokong-penyokong UMNO" yang menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri UMNO semalam

Bas percuma yang membawa "penyokong-penyokong" UMNO

Politik wang atau rasuah dalam UMNO sudah tidak dapat dipisahkan lagi. Bukan saja Isa Samad malah KJ dan Ali Rustam juga pernah didapati bersalah kerana terlibat dalam politik wang umno, tapi mereka tetap diterima tetap di sokong oleh pengampu-pengampu yang mengharapkan sesuatu. Tidak perlu fikir hal rasuah pemimpin, yang perlu pengikut boleh mendapatkan sesuatu dari pemimpin "kotor" itu. Itu lah pegangan pemimpin dan pengikut-pengikut UMNO sekarang.

Antara pemimpin UMNO yang didapati mengamal Politik wang masih boleh tersenyum di hadapan khalayak ramai

Di Bagan Pinang, pengikut-pengikut yang taksub kepada Isa Samad memberi amaran kepada pemimpin tertinggi UMNO BN yang mereka akan memBOIKOT PRK Bagan Pinang andai Isa tidak di letakan sebagai calon. Jadi faham lah kita, baik pemimpin mau pun pengikut-pengikut atau penyokong UMNO, Rasuah atau mereka panggil "politik wang" tidak menjadi masalah buat mereka.

STONE: Maaf tak sempat untuk menuggu hingga ke malam, majlis pengumuman calon PAS kerana terpaksa balik KL ada hal penting.

14 November 2008

Politik Wang Semakin Parah Menjelang Pemilihan UMNO: Tg Ahmad Rithauddeen - malaysiakini

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB

PETALING JAYA: Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail tidak menolak kemungkinan gejala politik wang yang berleluasa dalam Umno akan semakin parah menjelang pemilihan pusat Mac depan.
Beliau berkata, ia kemungkinan berlaku disebabkan tempoh berkempen bagi pemilihan hanya akan berakhir pada Mac nanti.
"Nampaknya begitulah. Saya tak nak kata sangat dengan begitu yakin, mungkin tidak berlaku tapi boleh jadi (gejala politik wang) akan terus berlaku kerana pemilihan akan berakhir pada bulan Mac.
"Pada mereka (ahli-ahli), makin lama makinlah bagus...banyak lagi duit orang dapat. Saya tidak suka tengok keadaan ini," katanya ketika temubual eksklusif dengan mStar Online di pejabatnya di Bukit Damansara di sini, hari ini.
Tengku Rithauddeen berkata, beliau akan mencadangkan penambahan dalam peruntukan Tata Etika Umno supaya bukan hanya orang yang memberi wang disabitkan kesalahan malah yang meminta juga turut bersalah.
"Kadangkala apa yang berlaku sekarang ini, orang yang mengundi itu yang minta duit.
"Bila ada calon yang nak bertanding, ada yang minta dan berkata 'takkan takda duit-duit kopi sikit'. Ini masalahnya. Duit kopi (yang diminta) bukan 10 sen atau 20 sen, dia nak beratus... "Jadi mungkin kita kena pinda sedikit undang-undang supaya orang yang minta duit pun salah juga. Ini satu perkara yang kita perlu beri pertimbangan yang mungkin sedikit sebanyak akan mengurangkan gejala ini," katanya.
Tengku Rithauddeen berkata, memandangkan Lembaga Disiplin hanya mempunyai 18 ahli dan jumlah itu tidak mencukupi untuk mengendalikan kes-kes salah laku yang berlaku, beliau telah memohon kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk menambah bilangan ahli.
Beliau turut menolak pandangan sesetengah pihak bahawa Lembaga Disiplin tidak menjalankan tugas mereka dengan baik.
"Mereka memikirkan kita ni tak bergerak tapi kalau mereka tengok kita bekerja, mereka akan sedar kesulitan yang kita hadapi. "Kita nak siasat satu-satu kes itu mengambil masa. Kita kena pegi ke bawah. Mereka (pengadu) nak datang sini, mereka tak mampu," katanya.
Beliau berkata, daripada 900 aduan yang diterimanya, kira-kira 40 hingga 45 peratus melibatkan politik wang manakala selebihnya adalah kes-kes salah laku pada mesyuarat-mesyuarat cawangan dan bahagian.
"Kita siasat boleh kata banyak juga. Ada yang kita telah bicara. Mungkin beberapa minggu yang akan datang, kita akan menambah ahli-ahli untuk mendengar kes.
"Selain itu, kira-kira 10 peratus kes telah pun diselesaikan dan kerjasama yang kita jalankan dengan BPR (Badan Pencegah Rasuah) pada masa ini telah dapat mengurangkan beban tugas kita," katanya. -- mStar

13 November 2008

UMNO itu Duit, Duit itu UMNO - malaysiakini

Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB

PETALING JAYA: Gejala politik wang sudah sebati dengan Umno! Ini rumusan penganalisis dan pemerhati politik yang mengikuti dengan dekat perkembangan tersebut sejak kebelakangan ini.

Pensyarah sains politik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr Ghazali Mahyudin berkata, gejala politik wang sudah lama berakar umbi dalam Umno dan ia merebak daripada peringkat atasan hingga ke bawah.
"Ia dah berlaku lama. Bila ada bunga-bunganya, ia patut dicantas cepat tapi Umno dulu, masa hal ini (politik wang) berlaku, mereka menutupnya dan akibatnya semakin dapat dilihat pada hari ini. Ia semakin merebak dan sukar dibendung lagi," katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini.
Ghazali berkata, walaupun ada tindakan yang diambil oleh Lembaga Disiplin tetapi ia tidak memberi kesan besar kerana hanya melibatkan beberapa orang ahli dan bukan menyeluruh.
"Selain itu, ini juga melibatkan masalah kepimpinan. Walaupun ada pemimpin Umno yang berdegar-degar bercakap politik wang berdosalah, merosakkan maruah bangsa dan sebagainya tetapi tidak semua ahli yang memandang berat cakap-cakap mereka.
"Ada sesetengah ahli yang bila pemimpin bercakap demikian, mereka pun kata 'alah, dia cakap, dia pun buat juga'... itulah yang membimbangkan," katanya.
Ghazali menambah, gejala yang berleluasa di kalangan ahli Umno ini tidak boleh dipandang mudah kerana golongan ini yang akan menerajui parti dan kemungkinan besar menerajui negara.
Justeru katanya, cara yang baik bagi mengekangnya adalah dengan menghapuskan sistem kuota yang menjadi salah satu punca kepada gejala ini terus berlaku.
"Jika tidak dilakukan, saya tidak nampak hal ini akan berkesudahan dan saya fikir tidak ada jawatankuasa yang mampu menanganinya kerana ia sudah seperti satu budaya.
"Pemimpin cakaplah apa pun, media tulislah apa pun, setakat ini memang tidak memberi kesan. Pada saya, politik wang dalam Umno boleh dikatakan 'kalau bagi salah, tak bagi kalah'," katanya.
Sementara itu, pensyarah Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Zaini Othman turut bersetuju jika sistem kuota dalam pemilihan Umno dihapuskan.
"Ia melibatkan aspek penstrukturan dalam pemilihan Umno kerana struktur sedia ada iaitu sistem kuota yang mendokong politik wang ini terus berlaku dalam parti tersebut.
"Bukanlah saya maksudkan ia akan terus terhapus tetapi mungkin sedikit sebanyak, gejala politik wang itu dapat dikurangkan," katanya.
Zaini berkata, salah satu cara bagi menggantikan sistem sedia ada adalah dengan mengadakan pemilihan secara serentak berbanding secara berperingkat-peringkat yang diamalkan pada masa ini.
"Sekarang ini, pemilihan yang diadakan melalui mesyuarat-mesyuarat agung (persidangan perwakilan) bahagian membolehkan calon meletakkan sasaran, bahagian mana yang mereka mahukan untuk mendapatkan lebih lagi pencalonan.
"Jika dilakukan serentak, hal ini dapat dielakkan kerana mereka tidak ada masa untuk melakukan semua itu," katanya.
Selain itu, Zaini berkata, ahli-ahli Umno juga perlu mengubah persepsi mereka bahawa Umno adalah sebuah parti yang menjanjikan wang kepada ahli-ahlinya.
"Ahli-ahli Umno ini perlu diorientasikan semula daripada menganggap Umno itu duit, duit itu Umno. Saya tidak pasti macam mana caranya tapi itulah yang perlu dilakukan," katanya.
Sementara itu, pensyarah jurusan pembangunan sosial Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, Lembaga Disiplin dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) perlu bekerja keras dalam membasmi gejala politik wang ini daripada terus berleluasa.
"Kalau betul-betul nak banteras (politik wang), Umno memang kena kerja keras termasuk Lembaga Disiplin perlu memantau daripada awal lagi perjalanan mesyuarat peringkat bahagian.
"Masalahnya sekarang, dalam gejala politik wang yang begitu teruk pada masa ini, ia boleh diibaratkan seperti rumah sudah terbakar tapi mesyuarat nak panggil bomba baru nak diadakan," katanya.
Jelas beliau, Lembaga Disiplin boleh mengadakan jawatankuasa di peringkat negeri supaya masalah disiplin ahli termasuk politik wang boleh dikawal.
"Masalahnya, politik wang ini sukar dikesan kerana tiada siapa yang mahu tampil menjadi saksi dan kita pun tidak tahu tangan-tangan tersembunyi yang menerima duit-duit itu.
"Bagaimanapun pada saya, setiap ahli sebenarnya perlu kembali semula kepada ajaran Islam iaitu keimanan dan ketakwaan serta sayang kepada negara," katanya. -- mStar

29 October 2008

UMNO HARUS BASMI BUDAYA POLITIK WANG: DR M - malaysiakini

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Umno harus membasmi segera budaya politik wang bagi mengelakkan rakyat daripada terus bosan dengan kelakuan-kelakuan pemimpin, kata bekas Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kalau dalam keadaan sekarang ini budaya politik wang itu masih tidak ditukar di kalangan pemimpin-pemimpin, saya khuatir pengundi akan merasa bosan dengan kelakuan mereka yang menjadi pemimpin kerana sogokan wang," katanya ketika ditemubual dalam Astro Awani di sini malam Selasa.

Bekas Perdana Menteri itu berkata Umno juga perlu mempunyai badan penasihat yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan bagi memastikan proses penjenamaan semula parti itu berjalan lancar."Kalau mereka menjadi badan penasihat tetapi mereka guna pengaruh mereka untuk mendapat sesuatu untuk diri mereka, di sini terdapat konflik dan nasihat yang diberi mungkin tidak baik, tetapi jika kita ada satu badan yang bebas daripada kepentingan diri maka mereka boleh beri nasihat yang baik," katanya.

Dr Mahathir berkata bagi memulih semula kekuatan Umno dan memancing kembali pengundi di lima buah negeri yang ditawan pembangkang, parti komponen Barisan Nasional (BN) harus bersatu kembali serta tidak berbalah sesama sendiri.

"Jika mereka terus berkelahi sesama mereka, tidak ada faedah, sebenarnya prestasi BN dalam pilihan raya 8 Mac lalu, bukan saja Umno yang teruk malahan Gerakan, MIC, MCA, semuanya sudah hampir hancur, jika nak kuatkan balik BN, masing-masing kena turun padang, bekerja kuat, mendekatkan diri dengan rakyat dan menunjukkan teladan yang baik, " katanya.-- BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive