31 July 2009

Gerakan tarik diri, PAS tetap sertai demo anti ISA Najib Altantuya esok


Oleh Zukri Aksah

KUANTAN, 31 Julai – Di sebalik amaran pihak polis dan pelbagai lagi yang mendesak supaya demonstrasi mansuhkan ISA anjuran GMI esok dibatalkan, dan di sebalik sudah bermulanya sekatan-sekatan jalanraya di sekitar Kuala Lumpur hari ini, PAS Pahang sebagai sebahagian dari sekutu GMI dalam penganjuran demonstrasi tersebut tetap dengan tegas menyeru seluruh rakyat Pahang supaya turun beramai-ramai esok ke lokasi-lokasi yang telah ditetapkan.

Ustaz Yusof Embong, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang percaya yang sesiapa yang bersetuju bahawa penahanan tanpa bicara itu zalim, pemisahan suami dari isteri itu zalim, dan pemisahan anak dari ayahnya itu zalim, maka mereka harus turun esok membuktikan kepercayaan mereka dengan berdemonstrasi secara aman.

Bahkan, bagi Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, yang juga bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang, adalah tanggungjawab seluruh rakyat untuk hadir, dengan hanya meninggalkan tiga golongan di rumah, iaitu mereka yang uzur syarie, mereka yang penakut dan mereka yang menyokong ISA.

Menurut Nasrudin, ISA memang sepatutnya dimansuh memandangkan akta ini telah banyak memangsakan mereka yang tidak bersalah, malah ISA tidak pernah membuktikan kesalahan mangsanya di mahkamah atau melalui proses perbicaraan yang adil dan telus.

Perhimpunan mansuhkan ISA pada jam 2.00 petang esok merupakan perhimpunan aman yang santai dan bersifat kekeluargaan, maka pihak penguatkuasa yang terlibat khususnya pihak polis tidak perlu bimbang tentang kemungkinan berlakunya sebarang kekecohan, ia tidak akan berlaku kecuali jika ada pihak lain menyusup masuk dan membuat provokasi.

Ulas Yusof, penyertaan dalam demonstrasi esok adalah penting sebagai sesi pernyataan sikap, sikap tidak bersetuju terhadap apa-apa bentuk kezaliman, dan ISA adalah salah satu kezaliman yang wujud dalam bentuk undang-undang.

Sementara bagi Nasrudin, atas kapasitinya sebagai pemimpin pemuda, demonstrasi mansuhkan ISA ini adalah peluang anak muda yang berkesedaran untuk melunaskan tanggungjawab mereka bangkit bersuara bagi membebaskan mereka yang sedang teraniaya.

Demo esok anjuran GMI dengan turut disertai oleh parti-parti politik dalam Pakatan Rakyat dan NGO.

Parti Gerakan yang turut menyokong usaha ini cuba menyerahkan memonya kepada Yang Dipertua Agung hari ini namun tidak berjaya.

Gerakan turut menarik balik cadangannya untuk turut serta dalam demo esok. - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive