31 October 2013

PRK Sg Limau : BN punya 2 calon?



PAS dakwa BN langgar peraturan pilihan raya, guna poster Mukhriz untuk berkempen
 

PAS hari ini mendakwa Barisan Nasional (BN) melanggar peraturan pilihan raya dalam kempen mereka di Sungai Limau apabila menggunakan bahan poster selain calon yang bertanding. 
Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar (gambar) membidas jentera BN yang terdesak sehingga terpaksa memasang poster Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir sebagai gambaran seorang calon pada pilihan raya kecil kali ini.

"Adakah BN menghantar dua orang calon sebab saya tengok ada dua poster calon N20, Dr Sohaimi dan Datuk Mukhriz.

"Kain rentang dan poster yang diletak menunjukkan bahawa seolah-olah adalah Mukhriz," kata Naib Presiden PAS itu yang mempersoalkan corak berkempen sedemikian oleh pemimpin BN.

Ahli Parlimen Pokok Sena tersebut menuduh BN cuba mengelirukan pengundi Sungai Limau apabila meletakkan poster sedemikian.

"Saya tak tahu jika ia bertujuan untuk mengelirukan pengundi.

"Jadi, mereka gunakan populariti Mukhriz," katanya.

Mahfuz kemudiaan mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya memberikan penjelasan mengenai perkara tersebut, sama ada ia melanggar Akta Peraturan Pilihan Raya ataupun tidak.

"Saya minta SPR berikan penjelasan.

"SPR harus tampil beri kenyataan, salah ataupun tidak," tegas beliau lagi.

PRK Dun Sungai Limau diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Razak pada Khamis lepas setelah lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan serius.

Azizan menyandang kerusi DUN itu selama lima penggal dan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, beliau mengalahkan sepupunya, Fazillah Mohd Ali daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti sebanyak 2,774 undi. -TMI

Tembak Pegawai AmBank: Operasi Syarikat Keselamatan Kawalan Prima Sdn Bhd Diharamkan

Oleh LOSHANA K.SHAGAR
KUALA LUMPUR: Semua operasi syarikat penyedia pengawal keselamatan yang menembak mati seorang pegawai bank dalam satu rompakan minggu lalu, diharamkan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata syarikat kawalan keselamatan iaitu Kawalan Prima Sdn Bhd, boleh didakwa di mahkamah sekiranya mereka masih menjalankan perkhidmatan kawalan keselamatan berkenaan.
"Pagi tadi (Khamis), setiausaha jabatan keselamatan dan ketenteraman awam telah pergi ke ibu pejabat firma berkenaan dan cawangannya bagi memastikan tiada lagi operasi dijalankan oleh pihak mereka.
"Pihak kementerian mengklasifikasikan sebarang operasi yang dijalankan syarikat itu sebagai haram dan akan mendakwa mereka di mahkamah sekiranya mereka tidak mengendahkan arahan berkenaan," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen pada Khamis.
Ahnad Zahid turut mengesahkan senjata yang digunakan oleh pengawal keselamatan tersebut telah dirampas oleh pihak kementerian dan kenyataan bertulis serta pemberitahuan rasmi akan dimaklumkan kepada pelanggan firma berkenaan.
"Mereka akan dimaklumkan mengenai perkara ini, dan tindakan undang-undang akan diambil sekiranya mereka meneruskan perkhidmatan syarikat kawalan keselamatan tersebut," katanya.
Beliau menambah, syarikat kawalan keselamatan berkenaan telah tiga kali melanggar undang-undang kerana mengambil pekerja warga asing sebagai pengawal keselamatan dengan beberapa orang daripadanya memiliki rekod jenayah.
Dalam kejadian 22 Oktober lalu, seorang pengawal keselamatan menembak mati pegawai Ambank iaitu Norazita Abu Talib, 37, ketika merompak cawangan bank berkenaan dalam kejadian di Jalan USJ 2, Subang Jaya, Selangor.
Pengawal keselamatan itu yang sebenarnya bertugas di bank lain, hadir bertugas di Ambank cawangan tersebut bagi menggantikan orang lain yang tidak datang bekerja.

Zain Saidin & Che Ta bernikah 11/12/13?

Zain dan Rozita akan mengadakan sidang media khas bagi mengumumkan tarikh pernikahan mereka pada bulan hadapan.
PETALING JAYA: Pelakon Zain Saidin menolak desas-desus kononnya dia dan aktres Rozita Che Wan bakal bernikah pada 11 Disember depan mengambil angka 11.12.13.
Zain, 29, berkata, dia dan Rozita akan mengadakan sebuah sidang media khas bagi mengumumkan tarikh pernikahan mereka pada pertengahan bulan hadapan selepas dia kembali dari Amerika Syarikat kerana menjalani penggambaran.
"Saya tidak pernah memberitahu kepada sesiapa untuk bernikah pada tarikh tersebut dan itu hanyalah andaian daripada pihak lain dan bukannya datang dari mulut saya atau pun Rozita.
"Bagaimanapun persoalan itu akan terjawab pada satu sidang media khas untuk mengumumkan perkara itu sekembalinya saya daripada Amerika Syarikat pada pertengahan bulan hadapan," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Khamis.
Akhbar melaporkan pasangan itu dipercayai memilih tarikh tersebut kerana ia mempunyai turutan angka yang menarik dan sumber turut mengesahkan mengenai perkara berkenaan.
Dalam pada itu, Zain tidak menafikan tarikh berkenaan istimewa dan menjadi pilihan banyak pasangan pengantin untuk melangsungkan perkahwinan.
Gambar majlis merisik Zain dan Rozita yang diadakan di Carcosa Seri Negara pada 29 September lalu. Foto Ihsan AnnasEaskey Photography.
"Ia adalah tarikh popular dan saya agak bimbang sekiranya kami memilih tarikh itu ia akan bertembung dengan banyak majlis lain yang mungkin akan menimbulkan masalah.
"Apa-apa pun masih belum ada keputusan muktamad mengenai tarikh kahwin kami dan ia akan dijelaskan pada sidang media itu nanti," ujarnya.
Pada 29 September lalu, keluarga Zain merisik Rozita dalam satu majlis tertutup di Carcosa Seri Negara di Kuala Lumpur.
Sementara itu, mengulas mengenai kekasihnya mengadakan sesi bergambar pra-perkahwinan di London baru-baru ini, Zain berkata, dia tidak dapat menyertai Rozita kerana sedang menjalani penggambaran Fear Factor di Cape Town, Afrika Selatan.
"Rozita ke sana bersama ahli keluarga yang lain dan dia ke sana bukan semata-mata untuk mengambil gambar pra-perkahwinan tetapi menguruskan beberapa perkara lain," katanya.
Dalam perkembangan lain, Zain berkata, dia bakal berangkat ke Amerika pada Jumaat (esok) untuk menjalani penggambaran telefilem Oh! My English.

Umno layan rakyat macam roti canai - Bob Lokman


Umno layan rakyat macam ROTI CANAI - Bob Lokman
JERAI - Bekas pelakon dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman mengingatkan seluruh pengundi Dun Sungai Limau agar mengambil iktibar apa yang telah berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.
Tampil di pentas ceramah PAS di Padang Lumat, Batu 16 di sini malam tadi, Bob atau nama sebenarnya Muhammad Hakim Lokman, melontar persoalan adakah rakyat di negara ini tidak serik diperlakukan seperti "roti canai" oleh Umno BN.
"Mula-mula dia uli tepung penuh kelembutan, campur majerin, jadikan kecil-kecil sebesar penumbuk, sapu minyak, tutup dengan tuala good morning, perap dan simpan tempat sejuk.
"Tapi bila nak makan, dia cengkam satu-satu, hempas atas meja, lenyek-lenyek, tarik-tarik, kemudian bakar atas tempat panas," katanya.
Menurut beliau, itulah cara Umno melayan rakyat selama ini dengan membelai penuh kasih sayang ketika kempen, namun selepas pilihan raya, rakyat dijadikan mangsa.
Beliau memberi contoh janji BN sebelum PRU13 lalu yang berjanji tidak akan menaikkan harga petrol dan barangan lain, namun selepas pilihan raya, petrol dan terbaru harga gula naik serta merta.
Itu belum lagi dengan perlaksanaan cukai GST, yang sebelum ini dicanang tidak akan dilaksanakan, namun selepas pilihan raya semuanya berubah.
"Waktu kempen PRU13 lalu saya dah kata jangan undi BN nanti minyak naik, gula naik, tapi ramai tak nak dengar.
"Jadi sekarang saya nak kata apa lagi. Cukup la, jangan sebab dapat kain sarung, helmet, kita lupa apa yang dah mereka buat.
"Jangan la kita jadi macam roti canai," katanya.
Turut berceramah sepentas dengan beliau malam tadi termasuk Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat Aiman Atirah Al-Jundi, serta Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu Muhyidin Abdul Rashid.
Semalam adalah malam kedua Bob Lokman hadir membantu kempen PAS di Sungai Limau di sini.
Pada 2011 lalu, Bob mengumumkan menyertai PAS dan telah menyerahkan borang keahliannya kepada mantan Menteri Besar Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Razak yang juga bekas Adun Sungai Limau dalan satu majlis di negeri ini.

Harakahdaily

Potong zakar kerana tiada teman wanita

Kerana terlampau tertekan selepas gagal mendapat teman wanita, seorang lelaki berusia 26 tahun, mengambil jalan singkat dengan memotong kemaluannya.


Namun selepas berbuat demikian, Yang Hu, memutuskan untuk menyambungnya semula dan telah menaiki basikal untuk rawatan di hospital.

Malang menimpanya apabila doktor memberitahu bahawa `nyawanya’ itu tidak dapat disambung kerana kemaluannya itu tertinggal di rumah.

Bagaikan pak pandir, Yang Hu kemudiannya menaiki basikal untuk pulang ke rumah bagi mengambil cebisan kemaluannya itu.

Apabila Yang Hu tiba di hospital, doktor pula memberitahu bahawa mereka tidak dapat menyambungnya semula kerana dia kehilangan banyak darah untuk tempoh yang panjang.

Betapa kecewanya Yang apabila mendapati kelakiannya itu tidak dapat disambung semula.

Menurut rakan-rakannya, dia mengalami tekanan selepas gagal menemui teman wanita, meskipun sudah sekian lama bekerja di kilang membuat pakaian di Jiaxing.

Kekecewaannya itu semakin buruk hingga menyebabkan dia memutuskan untuk memotong kemaluannya pada pukul 9 malam, dua hari lalu iaitu selepas pulang dari kerja.

Dalam pada itu rakan-rakannya mengecam doktor di hospital terbabit kerana tidak menyediakan ambulan kepada Yang. Jika tidak sudah tentu kelakian Yang dapat diselamatkan.

30 October 2013

Padi Jantan [Blogger Umno] diarah bayar RM130 Ribu pada bekas SU ustaz Azizan

Sobbri Sudin (gambar), pengendali blog Padi jantan diarahkan mahkamah supaya membayar RM130 000 kepada bekas SU Menteri Besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak, Muhammad Sanusi Md Nor kerana menfitnah.

Dia diarah membayar gantirugi am sebanyak RM100,000 dan kos sebanyak RM30,000 dalam tempoh sebulan. 

Mahkamah mengambil kira kedudukan plaintif sebagai bekas SU MB serta penglibatan dalam parti politik sebagai Timbalan Ketua Pemuda Pas dan Ketua Penerangan Pas Kedah, selain fitnah yang dibuat melalui internet, keluarga plaintif yang menanggung kesannya, kata Pesuruhjaya Kehakiman, Abu Bakar Katar dipetik Sinar Harian.


Muhammad Sanusi yang ketika itu SU Politik Azizan memfailkan saman fitnah pada 27 Febuari berhubung laporan blog pada 22 Julai 2012, kerana mengaitkan dirinya dengan rasuah bernilai RM1.3juta, selain didakwa berada dalam lokap SPRM Kedah.

Dakwaan itu bersifat fitnah kerana ketika itu, beliau hadir pada program MB menyampaikan sumbangan Ramadan di Masjid Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar. 

Najib lupa daratan atau kufur nikmat?


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah seorang Perdana Menteri yang berlagak seperti anak nakal. Seorang anak nakal ini tidak akan faham masalah yang ada pada orang lain atau adik atau ibu bapa mereka. Anak nakal selalunya kuat berbelanja, maklum sajalah wang ringgit itu bukannya dia yang mencarinya. Dia hanya pandai berbelanja dan berbelanja tidak kira pada waktu baik atau buruk.
Pembentangan bajet baru-baru ini menunjukkan sikap berpura-pura Najib, yang dengan selamba beretorik dengan slogan wasatiyah, dan berbagai-bagai lain yang melambangkan kerajaan beliau berbelanja secara berhemah dengan wang rakyat yang ada. Tetapi di dalam berslogan hebat itu beliau memperuntukkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan peruntukan yang sangat besar dalam sejarah negara, iaitu sebanyak RM16.45 billion.
Bajet bagi Jabatan Perdana Menteri pada 2010 adalah  RM11.88 billion, bagi 2012 sebanyak 13.72 billion dan bajet 2014 adalah RM16.45  billion. Peruntukan Jabatan Perdana Menteri lebih besar daripada peruntukan belanjawan Kementerian Pertahanan dan ini keadaan yang amat susah untuk diterima oleh rakyat ramai.
Jabatan penting di bawah JPM tidak menelan belanja yang sebegitu besar. Jakim hanya diperuntukkan kurang RM800 juta, dan Jabatan Implimentasi dan Koordinasi (ICU) tidak melebihi RM400 juta. Agensi-agensi penguatkuasa di bawah JPM seperti Penguatkuasa Maritim tidak pun berbelanja sampai RM400 juta. Ini bermakna jumlah yang RM14 billion itu hanya untuk kegunaan Pejabat Perdana Menteri sahaja.
Elok pembahas di Parlimen meminta Perdana Menteri memberikan pecahan terperinci terhadap RM14 billion yang lain itu. Persoalannya kenapa begitu mahal untuk menyelenggarakan Perdana Menteri sekarang ini, sedang PM itu sendiri memotong banyak perkara yang selama ini dibelanjakan oleh rakyat sendiri.
Yang amat menyakitkan bagi rakyat sekarang ini, pemimpin kita khususnya Perdana Menteri sendiri menunjukkan sikap tidak mahu berkorban untuk rakyat seperti beliau sarankan rakyat untuk berkorban. Dalam pada kita semua dipotong segala subsidi seperti subsidi bahan petroleum dan sebagainya, Perdana Menteri masih memberikan peruntukan yang berlipat kali ganda jumlahnya daripada peruntukan pada beberapa tahun sebelumnya.
Perdana Menteri masih lagi mengelilingi dunia tanpa had dan berlegar di seluruh dunia hampir setiap minggu dengan jet peribadi yang menelan belanja hampir RM100 juta sejak tiga tahun lalu. Kenapa PM begitu boros sedangkan rakyat dimintanya berbelanja secara berhemah dan berjimat cermat. Malahan bukan sahaja meminta rakyat berjimat, segala subsidi yang dirasai oleh rakyat ditarik satu persatu.
Kenapa bersikap seperti ‘nangoi’ dan tidak mempunyai ‘finesse’ walaupun sedikit? Kenapa tidak ada rasa malu dengan mengkufurkan nikmat pemberian Tuhan melalui rakyat yang sedang dalam kesusahan? Kenapa tidak langsung mempunyai ‘conscience’ dalam diri Perdana Menteri dan jemaah Menterinya? Kenapa?
Kepada Najib kami berseru, berbuat baiklah sedikit. Bentuklah sedikit jiwa rakyat di dalam diri saudara itu. Bersikaplah sebagai seorang yang mempunyai ibu bapa. Kenapa malukan nama baik keluarga? Kalaulah PM Najib masih bersikap begini tidak payah hapuskan subsidi gula, sikap beliau sendiri akan menambah pesakit diabetes kerana kehidupan yang stressful rakyat sekarang ini.
Apakah benar kata-kata seorang pemimpin kita yang lain, membawa keluar seseorang dari kampung itu adalah mudah, tetapi hendak mengeluarkan kampung dari dalam diri seseorang itu adalah kerja yang sangat susah. Najib ini dikendongnya kampung itu ke mana-mana. Malah beliau berbangga pula menunjukkan kampungnya itu di khalayak ramai dengan selamba sahaja.
Dalam dunia ini bukan Najib seorang memegang jawatan Perdana Menteri ini, tetapi PM yang lain itu tidaklah bersikap seperti si kudung mendapat cincin seperti sikap PM kita ini. Siapa yang membuatkan Najib menjadi begini? Siapa yang tahu?
Kenapa tidak ada langsung sifat malunya? Kenapa? Hendak kita biarkan sahaja keadaan ini berterusan? Kenapa Umno dan Barisan Nasional tidak bertindak terhadap Najib yang sudah melupakan daratan ini?
Hentikanlah budaya 'vandalisme' yang di amalkan oleh PM ini. Cara beliau berbelanja amat menakutkan kita. Beliau sudah menjadi seorang maharaja dan tidak lagi pemimpin rakyat. – aspanaliasnet.blogspot.com,

29 October 2013

Akhirnya Muhyiddin mohon maaf pada keluarga Ustaz Azizan ...

YAN: Tan Sri Muhyiddin Yasin pada Selasa memohon maaf kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak berhubung kontroversi dakwaan kononnya beliau mempersenda kematian bekas Menteri Besar Kedah itu dengan penyakit kencing manis.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sebagai umat Islam beliau memohon maaf sekiranya kenyataannya menyinggung perasaan keluarga Azizan.
"Sebagai manusia, kalau kenyataan itu disalah tafsir atau dirasakan menyinggung perasaan keluarga...saya mohon maaf.
"Sebagai seorang Islam, kadang-kadang dalam ucapan pun kalau ada ketelanjuran...awal-awal lagi kita minta maaf.
"Yang penting bermaaf-maafan sesama sendiri. Tujuannya ialah untuk kebaikkan, bukan niat apa-apa yang jahat atau nak ambil kesempatan dalam pilihan raya ini," katanya pada sidang media selepas mengunjungi Madrasah Mazahirul Ulum di Kampung Bukit Choras Dalam di sini.
Muhyiddin mengulas mengenai modal kempen pembangkang pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dengan mendakwa kononnya beliau sengaja mempersenda Azizan apabila mengaitkan keputusan kerajaan memansuhkan subsidi gula.
Mengulas lanjut mengenai kekeliruan mengenai ucapannya ketika hadir pada satu majlis di Bukit Besar Sabtu lalu, Muhyiddin berkata beliau tidak berniat untuk mencemarkan nama baik Azizan.
"Saya sebutkan tentang bajet, jelaskan tentang subsidi dan sebutkan kita nak jaga kesihatan.
"Tapi bukan tujuan saya untuk cemarkan nama baik Allahyarham atau merendahkan serta memperkecilkan arwah. Kita hormati arwah sebagai pemimpin berjasa. Bukan tujuan begitu (mempersenda)," katanya.
Tambah Muhyiddin, kenyataannya itu sekadar mahu mengambil iktibar mengenai pentingnya menjaga kesihatan.
"Saya tak ada niat jahat, sekadar untuk ambil iktibar dan dijadikan ingatan. Saya harap isu ini tidak dipanjangkan, kalau panjangkan juga mereka akan dilihat tidak memahami soal adab, tertib dan amalan Islam.
"Kita harap mereka tumpu beri penjelasan yang betul tentang apa-apa isu sekalipun kepada pengundi supaya mereka tidak dipesongkan," katanya.

Minyak akan naik lagi

Pakar ekonomi Bank Dunia ramal subsidi minyak akan dipotong tahun depan. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 28 Oktober, 2013.Pakar ekonomi Bank Dunia ramal subsidi minyak akan dipotong tahun depan. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 28 Oktober, 2013.Pakar ekonomi Bank Dunia Dr Frederico Gil Sander meramalkan kerajaan akan memotong subsidi minyak kali kedua tahun depan bagi menangani defisit fiskal yang dihadapi selama 15 tahun berturut-turut.
September lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikan harga RON95 dan diesel sebanyak 20 sen, sekaligus menimbulkan kemarahan dan kritikan daripada orang ramai dan juga pembangkang Pakatan Rakyat (PR).
"Kelihatannya mungkin ada satu lagi pusingan (rasionalisasi subsidi minyak)," kata Frederico semasa ditemui sebaik berakhir Dialog Pasca Bajet 2014 anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia di Bukit Kiara hari ini.
Frederico yang bertugas di Jabatan Asia Timur dan Pasifik, Membasmi Kemiskinan dan Pengurusan Ekonomi, berkata berdasarkan pembentangan Bajet baru-baru ini adalah isyarat jelas Putrajaya akan mengambil langkah rasionalisasi tersebut pada tahun depan.
Subsidi minyak merupakan jumlah terbesar yang dibelanjakan oleh kerajaan setiap tahun, dianggarkan berjumlah RM24.8 bilion atau 53% daripada keseluruhan RM47 bilion wang yang dibelanjakan untuk subsidi sahaja.
"Jika dilihat pada peruntukan, untuk peruntukan minyak dijangka akan menurun secara signifikan tahun depan.
"Di mana saya berpendapat ia adalah isyarat kemungkinan akan berlaku rasionalisasi subsidi minyak bagi memastikan sasaran dapat dicapai," kata beliau yang merujuk kepada sasaran kerajaan mengurangkan defisit fiskal pada paras 3% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2015 dan bajet berimbang pada 2020.
Sementara itu, Frederico berpandangan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diumumkan baru-baru ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan bagi mengelak kebergantungan kepada hasil minyak semata-mata.
Jumaat lepas, Najib mengumumkan melaksanakan cukai kontroversi GST bermula 1 April, 2015 pada kadar 6%.
"GST sangat berguna, ia bagi mengelak terlalu bergantung kepada hasil minyak semata-mata," katanya lagi.
Dalam pada itu, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang turut berada dalam dialog tersebut tidak menolak cukai tersebut mampu menjana pendapatan kepada negara tetapi menegaskannya bukan jaminan akan tidak boros serta melebihi bajet yang telah diperuntukan.
"Apabila menjana hasil yang besar, kerajaan juga berbelanja besar menjangkaui peruntukan setiap tahun
"Sejak beberapa tahun ini, kerajaan telah memohon bajet perbekalan tambahan kerana peruntukan yang diberikan tidak mencukupi," kata Pua.
Awal bulan lalu sebelum pembentangan bajet, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2013) sebanyak RM14,125,580,900 kepada beberapa kementerian sebagai perbelanjaan mengurus.
Selain itu, Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini juga mendedahkan beberapa ketirisan dan kebocoran melibatkan beberapa kementerian kerajaan yang mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.
Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyifatkan pembentangan bajet kali ini menunjukkan keseriusan kerajaan untuk menangani defisit fiskal terutamanya selepas laporan oleh agensi penarafan global Fitch Ratings yang meletakkan Malaysia pada kedudukan negatif.
"Kita perlu menghantar mesej bahawa kita serius untuk mengatasi defisit fiskal.
"Tapi saya juga bersetuju supaya satu langkah yang tegas perlu diambil untuk mengatasi kebocoran dan ketirisan seperti didedahkan Ketua Audit baru-baru ini," kata Khairy.
Najib membentangkan bajet 2014 bertemakan "Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji", merangkumi lima teras utama bajet iaitu merancak aktiviti ekonomi, mengukuh pengurusan fiskal, menggungul modal insan, mempergiat pembangunan bandar dan luar bandar, dan mensejahtera kehidupan rakyat. 

ARTIS : Mizz Nina berhijab selepas bergelar Hajah

Wajah terbaharu Mizz Nina yang dimuatkan dalam Intagram suaminya, Noh.
PETALING JAYA: Penyanyi Mizz Nina mengesahkan yang dia kini sudah pun berhijab selepas pulang daripada menunaikan Haji di Mekah pada Jumaat lalu bersama suaminya vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh, 29.
Pengurus penyanyi wanita itu, Joe Saiful, berkata, Nina atau nama sebenarnya Syazrina Azman, 33, bagaimanapun memberitahu dia masih belum bersedia untuk bertemu atau menjawab sebarang persoalan media mengenai perubahan imejnya itu.
"Buat masa ini Nina masih lagi belum bersedia bertemu media untuk bercakap tentang imej barunya itu.
"Tetapi dia telah mengesahkan pada saya bahawa buat masa ini dia memang sudah pun bertudung," katanya yang dihubungi mStar Online pada petang Isnin.
Dipetik dari Instagram Miz Nina.
Tambah Joe, Nina memerlukan sedikit masa untuk tampil kepada media serta khalayak dengan imej yang bersesuaian.
"Nina seorang yang sangat peka dengan imejnya sebagai selebriti dan apabila sudah berhijab, Nina sedang mencari imej yang bersesuaian sebelum tampil di khalayak.
"Dalam pada itu, banyak juga perubahan yang harus dilakukan dalam karier muziknya. Sebab itu dia perlukan masa. Diharap semua pihak dapat memahami situasinya," tutur Joe.
Miz Nina juga merupakan anak kepada Pengerusi Kumpulan AmBank Malaysia, Tan Sri Azman Hashim,

28 October 2013

Mahathir umpama singa cedera, Najib akan kena lebih teruk

PAS yakin Tun Dr Mahathir Mohamad akan membuat perkara yang lebih besar lagi selepas menyerang secara terbuka kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar), berkata Dr Mahathir umpama singa yang cedera selepas kekalahan anaknya, Datuk Mukhriz Mahathir dalam pemilihan Umno lalu.
“Saya jangka serangan Dr Mahathir terhadap Najib akan lebih teruk lagi berbanding serangannya ke atas Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) sebelum ini," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Dr Mahathir hari ini menyifatkan pentadbiran Najib lemah disebabkan melayan kehendak ekstremis pembangkang serta semakin kurang mendapat sokongan.
Bekas Perdana Menteri itu belum pernah mengkritik pentadbiran Najib sejak Tun Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatannya pada April 2009 malah pernah memuji pemerintahan Najib lebih baik berbanding Abdullah.
“Keadaan politik sekarang tidak stabil kerana wujud persepsi kerajaan lemah dan orang yang tidak betul memimpin negara.
“Kita mempunyai kerajaan yang lemah kerana kurang sokongan rakyat selain memenuhi keperluan ekstremis dalam puak pembangkang.
“Apa yang paling teruk adalah mereka membuat tuntutan melampau untuk meninggalkan kerajaan apabila permintaan tidak dipenuhi. Jika anda fikir mereka akan mengucapkan terima kasih dan memberi sokongan. Ia satu kesilapan,” kata Dr Mahathir ketika berucap di Putrajaya dalam ucapannya bertajuk "Trend Politik Semasa serta Kesan kepada Hala tuju Ekonomi dan Sosial Malaysia."
Dalam pemilihan Umno baru-baru ini, Mukhriz gagal untuk merebut salah satu kerusi Naib Presiden Umno apabila mendapat tempat keempat selepas Datuk Seri Hishamuddin Hussein.
Ia menjadi luka yang besar kepada Dr Mahathir dan bakal menjadi dendam kepada Najib kerana perdana menteri itu disifatkan sebagai pihak yang berusaha memastikan penyandang jawatan naib presiden Umno itu kekal.
Kekalahan Mukhriz kali ini mengulangi kekalahannya ketika merebut jawatan Ketua Pemuda Umno di tangan Khairy Jamaludin Abu Bakar.
"Saya rasa Najib akan lebih teruk dilanyak Mahathir berbanding ketika beliau melanyak Pak Lah kerana dia dikatakan menyalahkan Najib atas kesalahan anaknya itu," kata Salahudin yang bakal mempertahankan jawatan naib presiden PAS dalam pemilihan kali ini.
Ketika Abdullah menjadi perdana menteri sebelum ini, Dr Mahathir menyerangnya sehingga menyebabkan penggantinya itu meletakkan jawatan selepas gagal mempertahankan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum ke -12 (PRU12) lalu.
Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada April 2009 selepas Abdullah mengosongkan jawatan itu.
Tetapi pencapaian Najib lebih teruk daripada Abdullah dalam pilihan raya umum ke 13 (PRU13) lalu apabila kerusi yang dimenangi pembangkang lebih banyak walaupun berjaya merampas kembali Kedah.
Kejayaan mendapat semula Kedah dianggap kejayaan peribadi Dr Mahathir dan anaknya dan bukan kejayaan Najib selaku perdana menteri. – 28 Oktober, 2013 - TMI

Akaun Facebook Ardi Hamza - Suspek pembunuhan pegawai AmBank

Akaun facebook milik penembak pegawai bank/ Pic: facebook.comAkaun facebook milik penembak pegawai bank/ Pic: facebook.comPETALING JAYA: Pengguna internet telah terjumpa akaun Facebook kononnya milik seorang suspek dikehendaki kerana membunuh Pegawai Operasi Ambank Norazita Abu Talib dan merompak bank, minggu lepas.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, polis percaya bahawa Facebook itu milik suspek dan mereka sedang memantaunya.

Menurut maklumat yang dipaparkan pada halaman, lelaki itu tinggal di Petaling Jaya dan berasal dari Klang, Selangor, tetapi menunjukkan bahawa dia bekerja di sebuah syarikat kurier antarabangsa.

Sejak penemuan itu, pengguna internet telah berkongsi pautan Facebook tersebut yang menunjukkan nama dan wajah adalah serupa dengan suspek, kerana jenayah yang dilakukannya.

Sehingga pukul 2 petang, lebih 100 'shares' (perkongsian) telah dibuat untuk menghubungkan pengguna lain ke halaman peribadinya.

"Ini adalah wajah pembunuh dan perompak itu... mari kita buru dia sampai dapat," kata pengguna.

Berdasarkan album foto, ia memperlihatkan lelaki itu gemar berkunjung ke gym dan merupakan peminat bola sepak Indonesia.

Beliau juga memuat naik gambar buku bank Ambank selepas membuka akaun di salah sebuah cawangan bank itu di Taipan , Subang Jaya.

'Timeline' di halaman tersebut menunjukkan lelaki ini sering mengemaskini status Facebooknya sehingga 21 Oktober, dua hari sebelum kejadian tembakan dan rompakan.

Lelaki itu juga dilihat lebih cenderung menulis dalam bahasa Indonesia pada kebanyakan kemas kini status Facebook dan komen.

Dia juga disyaki memegang kad pengenalan palsu Malaysia yang menyatakan bahawa dia adalah Ardi Hamza dari Tawau, Sabah.

Pada hari Rabu, Norazita , 37, telah membuka pintu bilik kebal dengan rakan sekerjanya di bank di Jalan USJ Sentral 2 kira-kira pukul 6.18 petang.

Dia ditembak oleh pengawal keselamatan bank itu yang melarikan diri dengan wang tunai.



-mstar Online
http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2013/10/28/mstar_berita/20131028142414&sec=mstar_berita

Buat apa saya nak guling Khalid - DSAI

  • Anwar IbrahimAnwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
 1 / 1 
KUALA LUMPUR - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan adanya usaha untuk menggulingkan kerajaan negeri Selangor yang ditadbir oleh Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Anwar hari ini mengakui memang ada membuat teguran terhadap Abdul Khalid supaya hasil pendapatan negeri dapat ditumpukan kepada rakyat terutama di dalam bidang pendidikan dan infrastruktur, namun tidaklah sampai ke tahap mahu menggulingkan kerajaan negeri itu.

"Memang teguran dibuat walaupun tidak dalam konteks yang benar, saya puji kerajaan Pulau Pinang dan Selangor kerana pengurusan ekonomi yang baik, saya gesa kerana lebihan itu, supaya dapat menumpu kepada rakyat terutama dalam bidang pendidikan dan terutamanya dalam bidang infrastruktur.

"Itu sahaja yang saya tekankan, saya kata itu sahaja yang saya bagi contoh saya dapati Shah Alam, jalan setiap minggu saya dapat aduan, rosak dan sebagainya, jadi saya kata dekat Khalid ada pegawai bagi laporan baik (tentang keadaan jalan) tapi di jalan itu berlopak.

"Sebab itu ada orang kata Anwar mahu gulingkan, buat apa saya mahu gulingkan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Anwar juga berkata, desas-desus yang bertiup kencang kononnya Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali mahu mengambil alih tampuk kerajaan negeri tidak ada dalam pengetahuannya.

"Azmin, kalau dia nak ambil alih tak kan saya tak tahu, yang tahu Utusan dan Utusan yang paling prihatin tentang masalah ini," ujarnya.

PRK Sg Limau - Mahfuz : Sumpah, bukan saya


  • Mahfuz OmarMahfuz (tengah) menunjukkan SMS yang diterimanya pada sidang media, semalam.
 1 / 1 
YAN - “Wallahi, Wabillahi, Watallahi, saya tidak buat mesej ini (fitnah) kepada mana-mana pihak,” kata Pesuruhjaya Pas Negeri Kedah, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi menafikan beliau bertanggungjawab menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengatakan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim pernah mendapat rawatan penyakit mental.

“Saya nak respons terhadap mesej itu yang saya anggap sebagai satu cubaan untuk memfitnah saya dengan dimuat turun seolah-olah SMS itu ataupun maklumat itu adalah daripada nombor saya.

“Saya menerima mesej ini selepas dihantar oleh kawan-kawan yang bertanyakan adakah benar saya telah pun menghantar mesej itu kepada semua orang kerana katanya, dia melihat dalam blog pun ada mesej sama yang turut memaparkan nombor telefon saya,” katanya di Markas Induk Pas Kawasan Jerai, di sini, semalam.

SMS itu menyebut: “Calon BN Sungai Limau itu, Ahmad Sohemi bukan pelajar pondok pak ya, tapi jadi cikgu sementara saja. Dia bukan pendidikan agama. Jadi pensyarah pun bidang sains politik saja. Beliau pernah mendapat rawatan mental satu masa dulu. La ni menetap di Tanjung Malim. Ramai orang tidak kenal beliau di Dun Sungai Limau. Fikirlah”.

Mahfuz berkata, SMS itu mungkin dilakukan oleh golongan pengamal politik kotor yang cuba menjatuhkan karier politiknya.

“Isunya ialah dia cuba membuatkan saya menuduh Sohaimi pernah mendapat rawatan penyakit mental. Ini satu fitnah. Bagi saya ini satu perbuatan keji untuk menimbulkan provokasi bagi mencetus kebencian dan kemarahan rakyat serta menghilangkan suasana politik damai yang sedia wujud di Dun Sungai Limau.

“Saya percaya, selepas ini mungkin calon Pas, Mohd Azam Abdul Samat juga bakal menerima fitnah-fitnah yang seperti ini untuk memburukkan imej Pas dan calon Pas itu sendiri. Saya tidak tahu siapa yang buat perkara ini,” katanya.

Beliau, yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, berharap,  dengan penjelasan yang dibuatnya itu, ia dapat menjawab pelbagai persoalan yang dilontarkan oleh masyarakat.

“Saya bukanlah seorang ahli politik yang bodoh untuk memburukkan imej saya dengan politik rendah moral,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan undang-undang, Mahfuz berkata, beliau akan mendapatkan khidmat nasihat peguamnya terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan susulan.

“Cukup sekadar bersumpah. Saya tidak menghantar ataupun memanjangkan mesej seperti ini,” katanya.

Gula dan GST ...Paling hot


OCTOBER 28 , 2013

Dua perkara dalam Bajet 2014 yang dibentangkan Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat hangat menjadi perbualan ramai: pemansuhan subsidi gula 34 sen secara serta-merta dan pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Pemansuhan subsidi gula sememangnya akan menjejaskan kehidupan rakyat jelata terutamanya orang-orang Melayu kerana penggunaan gula yang tinggi dalam pemakanan mereka.
Sudah pasti harga nasi lemak, kuih-muih dan banyak lagi akan naik dengan mendadak.
Semasa membentangkan Bajet 2014, Najib mengatakan pemansuhan subsidi gula adalah kerana penyakit kencing manis atau diabetes kini menjadi ancaman utama negara.
Hujah itu dijawab dengan serta-merta oleh doktor-doktor pada malam selepas Bajet 2014 dibentangkan bahawa gula bukan satu-satunya punca penyakit kencing manis, makanan berkarbohidrat yang sebenarnya banyak menyumbang kepada penyakit berbahaya itu.
Ini menyebabkan Najib terpaksa menggunakan hujah lain untuk mempertahankan pemotongan subsidi gula apabila berkata, pengambilan gula berlebihan boleh menyebabkan lelaki lemah tenaga batin.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula pergi lebih jauh lagi apabila berkata langkah kerajaan itu mengingatkan semua pihak agar jangan sampai terjadi kepada mereka apa yang berlaku kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Razak akibat mengambil gula terlalu banyak.
Azizan meninggal dunia baru-baru ini dan menyebabkan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau berlangsung sekarang.
Di mana hilangnya sensitiviti Muhyiddin selaku pemimpin negara?
Di kala keluarga dan pengikut Azizan masih lagi bersedih dan kubur bekas menteri besar Kedah itu masih lagi merah, mengapa kenyataan sebegitu yang dikeluarkan timbalan perdana menteri?
Sudah mansuhkan subsidi gula, pertahankan sahajalah tindakan itu dengan hujah yang lebih bernas, jangan koyakkan lagi hati yang sedang sedih.
Tidak hairanlah jika ada yang berkata di laman-laman sosial Muhyiddin sedang cuba untuk sabotaj Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir di DUN Sungai Limau.
Daripada Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang untuk merampas DUN itu, terus hilang peluang kerana 'kebijaksanaan' Muhyiddin itu.
GST
GST turut menjadi bualan kerana ia akan melibatkan seluruh rakyat.
Walaupun sudah pasti ramai orang tidak begitu faham dengan sistem percukaian baru itu, apa yang mereka pasti tahu, mereka akan berhadapan dengan lebih banyak cukai bagi majoriti barangan dan perkhidmatan digunakan.
“Lebih 160 negara di dunia melaksanakan GST. Ini menunjukkan bahawa GST adalah satu sistem percukaian yang terbaik setakat ini dan terbukti berkesan.
“Sekiranya GST ini memudaratkan rakyat dan negara, masakan majoriti negara di dunia menggunapakai sistem percukaian ini,” kata Najib di Dewan Rakyat, pada Jumaat.
Hujah negara lain ada, negara kita belum ada sebenarnya hujah yang akan menjerat.
Orang akan bertanya, hanya Malaysia, Singapura dan Brunei sahaja yang tidak membenarkan kemasukan pemantau pilihan raya antarabangsa di Asean, mengapa Malaysia tak nak ikut?
Bukankah ia terbukti meningkatkan integriti pilihan raya negara?
Tidak ada masalah jika kerajaan mahu rakyat membantu negara menambahkan pendapatan jika mereka berbelanja secara berhemah sebelum ini.

Realitinya tidak apabila Laporan Audit Negara 2012 menunjukkan sebaliknya. Antaranya:
a) Polis Diraja Malaysia (PDRM) kehilangan aset berjumlah RM 1.33 juta, termasuk 156 pasang gari, 44 pucuk senjata api, 29 buah kenderaan, 26 set walkie-talkie, dan 22 buat radio.
b) Kementerian Belia dan Sukan membelanjakan RM 67.6 juta untuk Hari Belia 2012, peningkatan yang cukup tinggi dari peruntukan asal RM15 juta; di mana RM1.6 juta telah dibelanjakan untuk membawa masuk kumpulan K-pop.
c) Kasut buatan khas untuk pegawai Jabatan Kastam, yang lambat diagih mengakibatkan 7,659 pasang kasut dimusnahkan kerana tidak mengikut spesifikasi. Jumlah kehilangan dianggarkan bernilai RM 602,089.
Jadi apakah selepas GST dilaksanakan pada 1 April 2015 nanti, apabila pendapatan negara semakin tinggi, lebih banyak pembaziran akan dilakukan?
Bukankah kerajaan seharusnya tunjukkan kepada rakyat terlebih dahulu bagaimana mereka bersungguh untuk memerangi rasuah dan ketirisan? 

27 October 2013

Utusan sokong PAS gantikan Khalid sebagai MB Selangor, bukan Azmin


Kolumnis Utusan Malaysia, Awang Selamat hari ini mempersoalkan keengganan PAS menyertai kepimpinan tertinggi negeri Selangor setelah wujud perselisihan dalaman PKR bagi memilih Menteri Besar Selangor yang paling layak.
Beliau berkata desas-desus bertiup kencang bahawa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) akan digantikan dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali tidak lama lagi.
“Awang tertanya-tanya mengapa PAS tidak mahu menuntut jawatan Menteri Besar? Adakah PAS tidak cukup keyakinan untuk menggalas teraju kepimpinan dengan sekadar jadi pengekor?
“Adakah parti dalam Pakatan Rakyat (PR) akan menentang habis-habisan jika PAS mengambil tindakan sedemikian? Kebanyakan pemimpin PAS negeri juga dikatakan lebih condong kepada Khalid.
“Isu ini sedang hangat diperkatakan dalam PKR. Bagaimanapun khabarnya Khalid enggan berundur walaupun didesak oleh Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya melalui akhbar edisi Ahad, Mingguan Malaysia hari ini.
Menurut Awang Selamat, pihak yang menyokong Abdul Khalid kurang senang dengan tekanan yang dikenakan ke atas beliau kerana mereka berpendapat kejayaan pakatan pembangkang mempertahankan Selangor turut disumbangkan oleh faktor kepimpinan Menteri Besar Selangor itu.
Katanya, beberapa pemimpin PKR Selangor yang menyokong Azmin mahukan Anwar lebih tegas melakukan perubahan kepada jawatan Menteri Besar.
“Menurut mereka Anwar telah berjanji untuk melantik Azmin menggantikan Khalid. Sebagai Timbalan Presiden, sepatutnya beliau sudah lama diberi jawatan lebih utama.
“Awang menetap di kawasan pentadbiran Selangor. Tidak kisahlah siapa menjadi Menteri Besar sama ada Khalid mahupun Azmin asalkan perlembagaan negeri membenarkan,” katanya.
Awal bulan ini, Anwar mengkritik Abdul Khalid dan meminta Menteri Besar Selangor itu tidak lagi berbangga dengan lebihan kewangan yang diperolehi tetapi gagal membelanjakannya dengan baik.
Sebaliknya, Anwar memuji Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang disifatkannya berjaya membawa Pulau Pinang mencapai tahap prestasi terbaik.
Anwar mendakwa, setakat ini Pulau Pinang di bawah pimpinan Lim menunjukkan prestasi membanggakan berbanding Selangor ekoran kelemahan yang dilihat masih belum berjaya diatasi dalam pentadbiran Abdul Khalid. – 27 Oktober, 2013.

Politik Cina melampau dan bahaya - Utusan


Akhbar milik Umno Utusan Malaysia dalam edisi Ahad Mingguan Malaysia hari ini meneruskan serangan terhadap masyarakat Cina apabila melabelkan kaum itu tidak suka ditegur dan mengatakan pendekatan politik mereka sudah melampau dan berbahaya hasil pengamatan dari sebuah buku ‘The Chinese Dilemma’, tulisan Ye Lin Shing.
Menurut kolumnisnya Awang Selamat, penulis buku itu tidak malu untuk mengakui orang Cina Malaysia bersikap tidak adil terhadap orang Melayu malah katanya, masyarakat Cina taksub menyokong parti ekstrem DAP serta mahu menuntut hak sama rata dengan orang Melayu.
“Rumusan yang boleh dibuat dari buku tersebut, orang Cina di negara ini lebih beruntung berbanding negara lain tetapi masih tidak bersyukur. Penulis menekankan bagaimana sikap pemurah orang Melayu dalam kontrak sosial sebelum merdeka membolehkan kaum Cina mendapat kerakyatan.
“Masyarakat Cina Malaysia juga perlu menghayati nasib dialami warga Cina di Vietnam menjadi orang hanyut dipaksa meninggalkan negara itu serta kaum Cina di Kemboja yang ramai daripada mereka dibunuh atau dihalau.
“Penduduk Cina di Indonesia turut mengalami nasib sama apabila identiti mereka dihapuskan, begitu juga di Filipina, yang kaum Cina dinafikan kerakyatan mereka,'' katanya.
Awang Selamat berkata, buku tersebut menjadi sangat relevan untuk dibaca terutama pasca Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang menyaksikan tsunami kaum Cina menolak kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan orang Melayu.
“Apabila akhbar Utusan Malaysia menyiarkan di muka surat depan, ulasan berita bertajuk Apa Lagi Cina Mahu? dua hari selepas keputusan PRU-13, sebahagian pemimpin DAP dan NGO Cina marah walaupun kandungan laporan itu disifatkan oleh banyak pihak sebagai realistik dan suatu pertanyaan yang rasional,” katanya.
Menurutnya lagi, kerajaan banyak memenuhi tuntutan kaum Cina bersifat perkauman seperti pengembangan sekolah Cina dan dasar kerajaan yang membolehkan ramai orang Cina terus kaya raya namun mereka tetap mahu menjatuhkan kuasa politik Melayu.
“Penulis turut menggambarkan sikap angkuh Cina Malaysia yang suka menghina orang Melayu. Orang Melayu sebenarnya sedang dijajah kaum Cina tetapi itulah keistimewaan orang Melayu, mereka adalah bangsa yang bersopan santun dan penyabar.
“Sepatutnya orang Cina perlu berbakti kepada orang Melayu. Awang kasihan kepada orang Melayu. Walaupun banyak beralah kepada kaum Cina sejak dahulu lagi tetapi terus dilukai dan dikhianati. Budi yang dihulur, racun yang diberi. Pun begitu, ramai Melayu yang masih tidak sedar diri,” katanya.
Dua hari selepas keputusan PRU13 diumumkan, akhbar Utusan Malaysia mempersoalkan “Apa lagi Cina mahu?” di muka hadapannya, satu langkah dilihat untuk menunjukkan trend pengundian Cina lawan Melayu.
Laporan itu diselar ramai pihak kerana sebahagian besar penganalisis berpendapat, keputusan PRU13 sebenarnya menunjukkan perbezaan pengundian antara penduduk bandar dan luar bandar bukan antara kaum Cina dan Melayu. – 27 Oktober, 2013.- TMI

26 October 2013

Kenapa Rasulullah tidak punya bayang2?.



Semua sedia maklum satu mukjizat Nabi Muhamad saw adalah baginda tidak mempunyai bayang
kerana baginda itu sendiri adalah cahaya.
Rahmatan Lilalamin
baginda dibangkitkan untuk menyempurnakan akhlak yang terpuji.. baginda itu Nur Muhammad... cahaya atas cahaya... Allahu Rabbi..
.

Ini adalah sabahagian rambut Rasululillah saw.... rambut ini apabila disuluh tiada bayang... jelas... ini adalah rambut junjungan besar baginda Rasululillah... rambut baginda masih hidup walaupun jasad baginda sudah tiada... buktinya apabila rambut ini dipotong.. ia akan kembali kepada panjang asal....

Sollu alan Nabi...

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ 

Allahumma salli `ala muhammadin wa'ali muhammad, kama sallayta `ala ali ibrahim, innaka hamidun majid, Allahumma barik `ala muhammadin wa'ali muhammad, kama barakta `ala ali ibrahim, innaka hamidun majid -

ANTARA KEISTIMEWAAN RASULULLAH SAW

Memang Rasulullah SAW manusia hebat, tiada tara, tiada lawannya, jika dikatakan Nabi Yusof segak tapi Nabi Muhammad lebih segak ,jika Nabi Daud dikurniakan dengan merdunya suara, tetapi suara Nabi Muhammad lebih merdu.

Mari kita lihat banyak lagi istimewanya Rasulullah SAW yang kita tidak tahu 

Rasulullah SAW tiada bayang-bayang:
Al-Hakim al-Tirmizi meriwayatkan daripada Zakwan: “Sesungguhnya Rasulullah SAW itu tidak mempunyai bayang-bayang sama ada ketika berada di bawah sinar matahari, mahupun bulan.”

Rasulullah SAW tidak dihinggapi lalat :

Al-Qadhi ‘Iyadh menyebut di dalam al-Syifa, dan al-’Azafi dalam Maulidnya: “Di antara keistimewaan Nabi Muhammad SAW, lalat tidak pernah menghinggapi baginda.”

Ia juga disebutkan oleh Ibnu Sabu’ dalam al-Khasa’is, dengan lafaz: “Sesungguhnya lalat tidak pernah hinggap pada pakaiannya.”

Beliau menambah: “Sesungguhnya di antara keistimewaan Rasulullah SAW, kutu tidak pernah menggigitnya.”

Istimewanya darah Rasulullah SAW:

Diriwayatkan oleh al-Bazzar, Abu Ya’la, al Tabrani, al Hakim dan al Baihaqi daripada Abdullah ibn al Zubair: “Bahawa dia pernah datang menemui Rasulullah SAW ketika sedang dibekam. Setelah selesai dibekam, Rasulullah SAW pun bersabda, “Wahai Abdullah! Pergilah kamu dengan membawa darah ini dan buanglah ia di suatu tempat yang tiada sesiapa pun melihat kamu.”

Tetapi dia meminum darah itu. Apabila pulang, Rasulullah SAW bertanya: “Wahai Abdullah! Apakah yang telah kamu lakukan (terhadap darahku itu)?”

Jawabnya: “Aku telah meletakkannya di tempat yang tersorok yang aku ketahui ia sememangnya tersembunyi daripada pengetahuan orang.”

Rasulullah SAW bersabda: “Kemungkinan kamu telah meminumnya”. Kataku, “Ya!” Rasulullah SAW bersabda: “Celakalah manusia daripada kamu dan terselamatlah kamu daripada manusia.”

Peluh Rasulullah SAW wangi :
Imam Muslim meriwayatkan daripada Anas berkata: Rasulullah SAW pernah datang kepada kami lalu tidur sebentar (qailulah) di tempat kami. Baginda SAW berpeluh (semasa tidur). Ibuku datang membawa sebuah botol kaca lalu menadah peluh Rasulullah SAW yang mengalir itu. Rasulullah SAW pun terjaga lalu bersabda, “Wahai Ummu Sulaim! Apakah yang engkau lakukan?” Dia menjawab: “Peluh ini akan kita jadikan minyak wangi kita, ia adalah wangian yang paling harum!”

Nabi Muhammad SAW terpelihara daripada menguap
Imam al-Bukhari meriwayatkan dalam al-Tarikh, dan Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf, serta Ibnu Sa’ad daripada Yazid ibn al-Asom, berkata: “Nabi Muhammad SAW tidak pernah menguap sama sekali.”

Keistimewaan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang tidak diberikan kepada Nabi-nabi yang sebelumnya adalah:

1. Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam diutuskan kepada semua manusia dan jin. Sedangkan Nabi-nabi terdahulu hanya diutuskan kepada Kaumnya sahaja. (Hr Bukhari)

2. Dihalalkan harta rampasan perang (ghanimah) kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallamsedangkan tidak dihalalkan bagi manusia-manusia sebelum Nabi. (Hr Bukhari)

3. Semua tanah dan tempat di muka bumi ini boleh dijadikan tempat solat. (HBukhari)

4. Nabi-nabi dan ummat terdahulu tidak bersembahyang melainkan di tempat-tempat ibadah yang khusus. (Hr Ahmad)

5. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam diberi bantuan ketika menghadapi musuh-musuh Islam dengan Allah SWT mencampakkan perasaan takut dalam hati-hati musuh sebelum sampai bertemu tentera-tentera Islam sejauh sebulan perjalanan. (Hr Bukhari)

6. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam diberi Syafaat. (Hr Bukhari) Syafaatnya untuk ummatnya bagi orang yang tidak melakukan syirik. (Hr Ahmad)

7. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam diberikan “Jawamiul Kalim”. (Hr Muslim) Iaitu kalimah yang ringkas tetapi mengandungi banyak makna.

8. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam adalah penutup bagi kenabian. (Hr Muslim)

9. Diberikan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah dari gedung di bawah arasy. (Hr an-Nisaei)

10. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam diberikan kunci-kunci bumi. (Hr Ahmad)

11. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah orang yang pertama diberi nama Ahmad. (Hr Ahmad)

12. Ummat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam adalah yang sebaik-baik umat. (Hr Ahmad)

13. Diampunkan dosanya yang terdahulu dan yang akan datang semasa dia lahir ke dunia lagi. (Hr al-Bazzar)

14. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam diberikan Telaga al-Kauthar di akhirat. (Hr al-Bazzar)

15. Mula-mula Qarin yang bersama Nabi Muhammad adalah kafir. kemudian Allah SWT membantu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan Islamnya Qarin tersebut.

16. Dijadikan saf Ummat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam seperti saf para malaikat. (Hr Muslim)

والله أعلم بالصواب
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

Wallahua'lam...

P/S : Jika terdapat kesalahan, mohon ditegur :-)
Terima kasih kepada mereka yang menegur kesillapan saya

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive